|
SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Sistem Pengurusan Kualiti MS 1900:2005 - Keperluan Dari Perspektif Islam - yang telah diperkenalkan sejak 2005 mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan lima syarikat telah mendapat pengiktirafan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Standard Perindustrian Halal Standards Malaysia Nik Mustapha Nik Hassan.
Lima lagi syarikat sedang dalam proses untuk mendapatkan persijilan ini yang dilaksanakan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd, katanya selepas majlis perasmian seminar "Sistem Pengurusan Kualiti (MS1900:2005) - Keperluan Dari Perspektif Islam : Satu Pengenalan" di sini hari ini.
Seminar sehari anjuran bersama Standards Malaysia, sebuah agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Biro Korporat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan Johor Corporation telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden DPIM Datuk Seri Mohd Yussof Latiff yang mewakili Presidennya Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.
Nik Mustapha berkata lima syarikat yang telah mendapat persijilan itu ialah Century Logistics Holdings Bhd, Pusat Zakat Melaka, Takaful Ikhlas, PNB Darby Park Executive Suite, Natural Wellness Industries Sdn Bhd dan mereka terlibat di dalam bidang logistik, perhotelan, insuran dan kewangan serta bidang perubatan.
Dengan kerjasama DPIM bagi mengadakan siri jelajah seluruh Malaysia yang bermula di sini bagi memperkenalkan standard kualiti pengurusan berlandaskan syariah ini diharap lebih banyak lagi syarikat yang akan berusaha mendapatkan pengiktirafan standard ini, katanya.
Beliau berkata Standard MS1900:2005 ini telah dibangunkan Standards Malaysia dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Sirim Bhd, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Institut Integriti Malaysia dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia berasaskan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2000 serta memenuhi keperluan-keperluan syarak.
Nik Mustapha berkata MS 1900:2005 ada kelainan daripada ISO 9001:2000 kerana ia menitikberatkan unsur syariah bagi mengatasi masalah ketidakcekapan, kelemahan sisten pentadbiran dan rasuah yang dialami syarikat mahu pun organisasi.
Setiap syarikat yang mahu mendapat pengiktirafan MS 1900:2005 perlu mempunyai unit pematuhan syariah di syarikat masing-masing, katanya lagi.
Pengenalan standard berasasan syarak ini akan membuka ruang yang luas kepada graduan di dalam bidang syariah untuk bekerja dan menyumbang kepada industri dan ekonomi negara, katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Perkhidmatan Sokongan Korporat SIRIM QAS International Sdn Bhd Abdul Aziz Long berkata projek perintis standard berasaskan syariah itu telah dimulakan syarikatnya sejak 2006 lagi.
Beliau berkata sesebuah syarikat mungkin mengambil masa enam bulan sehingga setahun bagi mendapatkan pengiktirafan MS 1900:2005 yang bergantung kepada pematuhan syarikat dari kehendak syarak.
-- BERNAMA |